20 February 2012

BERTUNANG BUKAN LESEN BERDUA-DUAAN

Assalamualaikum (",)

TIGA minggu lepas saya mendapat tiga jemputan perkahwinan dan satu majlis pertunangan. Majlis pertunangan berlangsung di kampung, anak kepada sepupu saya bertunang. Anak sulung yang baru menamatkan pengajian. Saya dihubungi abang sepupu untuk menjemput saya sekeluarga ke majlis pertunangan anaknya. Saya dijemput makan tengah hari lebih kurang jam 1 tengahari dan rombongan pihak lelaki tiba jam dua petang. Saya dan dua anak tiba tetap jam satu dan terus makan.

Sedapnya hidangan sambal tempoyak daun kayu (tempoyak kacau), gulai masak lemak cili padi ayam campur nangka, ikan masin, ikan goreng ikan masak kicap dan sayur. Ringkas tapi sedap. Sepupu saya menyediakan dua khemah untuk tetamu makan. Saya terus berkata dalam hati “kalau dah ada khemah patut kita buat majlis akad nikah terus”.

Hari ini majlis pertunangan begitu meriah persis majlis perkahwinan. Pada zaman anak gadis tidak keluar belajar atau bekerja, perkahwinan diatur ibu bapa dan saudara mara yang memperkenalkan pasangan sama ada di majlis perkahwinan, kenduri atau hari raya.

Biasanya pasangan diperkenalkan secara tidak langsung bagi memastikan mereka mengenal antara satu sama lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila sesaorang kamu meminang sesaorang perempuan, maka dia dibolehkan melihat perempuan tersebut sekiranya tujuan dia melihat adalah untuk meminangnya, sekalipun tanpa diketahui oleh perempuan itu”. (riwayat Ahmad, Jilid 5, hlm 424)

Berpegang kepada hadis ini, pihak yang cuba mengatur perkahwinan pasangan akan memastikan pihak lelaki melihat pihak perempuan dan sebaliknya. Selain itu keluarga terdekat juga akan menjalankan tugas merisik.

Apakah tujuan merisik? Ia bukan adat semata-mata. Tujuan utama merisik adalah tidak meminang pinangan orang. Tambahan pula dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW, beliau berkata: “Dikahwini perempuan itu kerana empat macam, kerana hartanya, kerana baik kelakuannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka ambillah perempuan yang kuat agamanya nanti engkau akan beruntung”.

Jika dilihat kepada dari kriteria calon isteri/suami ini, maka bagaimana mungkin mengetahui latarbelakang seseorang tanpa mengenalinya dahulu. Namun Islam tidak membenarkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan hanya untuk mengenal hati budinya dan perangainya.

Kata pepatah Melayu, ‘manalah kuah kalau tidak tumpah ke nasi’ bermakna latar belakang ibu bapa pasti akan diwarisi oleh anak. Sebab itu juga hari ini pasangan yang ingin berkahwin perlu menjalani pemeriksaan darah dan dimaklumkan sama ada mereka dan pasangan mengidap penyakit seperti Hiv, Aids Hepatitis dan sebagainya.

Jika jelas pasangan mengidap apa-apa penyakit, pasangan yang sihat boleh berfikir semula sama ada mahu berkahwin atau pun tidak. Jika mahu meneruskan perkahwinan, barangkali mereka boleh diberi kaunseling untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan rumahtangga yang sihat, lebih teratur dan bahagia.

Ini boleh mengelakkan masalah seperti tidak sekufu (setaraf) atau jika pasangan datang daripada keluarga atau keturunan yang berpenyakit yang boleh diwarisi oleh anak. Jika pasangan mengidap penyakit berjangkit seperti Hiv atau Aids, maka berterus terang adalah cara terbaik untuk mendirikan rumahtangga supaya tidak berlaku penyesalan di masa akan datang.

Pernah seorang wanita menelefon saya dan bertanya pandangan saya mengenai perkahwinannya. Dia telah lama bertunang dan merancang berkahwin. Setelah menjalani kursus perkahwinan, dia dan pasangan menjalani ujian darah yang diwajibkan.

Dia amat terkejut apabila mengetahui bakal suami mengidap Hiv. Dia amat gusar dan bakal suami enggan berterus terang menceritakan zaman silamnya.

Saya menasihatinya berjumpa doktor pakar Hiv dan bertanya kesan jika berkahwin dengan tunangnya. Saya juga menyuruhnya solat hajat dan istikharah supaya Allah memberi petunjuk. Katanya dia berbelah bagi.

Dia juga bertambah curiga kerana bakal suami enggan bercerita lanjut bila ditanya. Nak putuskan pertunangan, semua persiapan telah dibuat dengan lengkap dan tentulah ibu bapa marah dan malu. Saya hanya boleh menasihatkan dia bahawa keputusan berkahwin adalah haknya. Pada masa yang sama sebagai seorang wanita dia berhak mengetahui kebenaran latarbelakang bakal suami sebelum dia dinikahinya.

dipetik dari : http://www.islamituindah.my/bertunang-bukan-lesen-berdua-duaan

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih . Syukran Jazilan