Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:-
"Tidaklah
sempurna iman seseorang di antara kalian hingga dia mencintai saudaranya
sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Ukhwah itu indah
jika penyatuan itu disandarkan kepada Allah SWT semata. Tiada seorang pun
manusia dapat hidup bersendirian walaupun dunia itu dia yang punya. Walau
segalanya cukup sempurna, manusia inginkan sebuah ukhwah. Kerana di situlah
fitrahnya manusia dijadikan. Bukan berseorangan tetapi berdua. Bukan
bersendirian tetapi berpasangan. Asas inilah yang harus kita percaya bahawa
manusia tidak akan sempurna tanpa sebuah ukhwah, kerana tanpa ukhwah iman itu tidak akan sempurna.
Terdapat banyak
hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan
persaudaraan. Sepertimana dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Zar RA
katanya, yang bermaksud:-
"Nabi SAW
telah bersabda kepadaku, "Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan
sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara
engkau dengan wajah yang berseri-seri."
Terang lagi
bersuluh, betapa Islam sangat menganjurkan persaudaraan walaupun hanya dengan
bermanis wajah di hadapan saudaranya. Nilai kebaikan di dalam Islam sentiasa
dijaga walaupun di dalam perkara yang sekecil-kecilnya. Menghubungkan
silaturrahim bermula dengan salam dan
senyuman itu dapat membahagiakan orang yang melihatnya.
Dengan senyuman sahaja dapat mengeratkan lagi tautan ukhwah yang ada. Maka
senyumlah kerana Allah untuk saudara kita.
Bagaimana ukhwah
itu dapat menyempurnakan iman seseorang?
Islam adalah
cara hidup yang sangat sempurna. Agama Rabbaniyyah yang datangnya daripada
Allah SWT yang Maha Pencipta. Justeru, sudah pastilah yang menciptakan itu
lebih tahu apa yang terbaik ke atas apa yang diciptakannya. Maka setiap sistem yang ada dalam aturan Islam itu
pastinya amat sesuai dengan fitrah manusia.
Islam
menggalakkan umatnya menghubungkan silaturrahim kerana dengan hubungan itu
manusia akan dapat saling mengenali dan seterusnya dapat meraih kasih sayang
sesama mereka. Ini terbukti sepertimana yang telah dijelaskan di dalam
Al-quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
"Wahai
manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang
perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku-suku, agar
kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah adalah orang
yang bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."
(Surah Al-Hujrat, ayat 13)
Dengan
menghubungkan silaturrahim sudah tentulah adanya hubungan muamalat yang
terjalin. Dengan jalinan ini, pastilah akan ada berlaku pelbagai urusan yang
melibatkan kehidupan seharian samada ianya berhubung dengan fardhu ain atau
kifayah. Dan segala urusan yang wujud itulah menyentuh konsep hubungan manusia
sesama manusia.
Sebagai contoh,
apabila berlakunya sesuatu maksiat di hadapan mata maka menjadi fardhu ke
atasnya untuk menegur dan memperbetulkan apa yang salah dan mungkar. Di sinilah
antara asas nilaian ukhkwah itu dapat menyempurnakan sebahagian dari iman
seseorang. Dengan menunaikan hak-hak yang telah ditetapkan di dalam
persaudaraan itu, maka dalam masa yang sama sebenarnya dia telah pun
melaksanakan apa yang telah dianjurkan oleh Islam.
Terdapat banyak
nas-nas yang sohih di mana menerangkan kepada kita tentang kewajipan seseorang
muslim kepada muslim yang lain di dalam menjaga persaudaraan. Antara kewajipan
itu sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW ialah :-
"Hak
seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau
berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah,
apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan
mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan yarhamukallah (semoga
Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila
dia meninggal dunia iringilah
(jenazahnya)."
(Hadis Riwayat Muslim)
Tetapi cuba
bayangkan seandainya kehidupan seorang manusia itu tanpa ada ukhwah yang
terjalin. Hidup di pinggir hutan, di dalam gua berseorang. Langsung tiada
urusan muamalat yang dijalankan. Hidupnya hanya beribadah kepada Allah.
Bukankah baginya hanya sempurna sebahagian iman tetapi sebahagiannya pula tidak
ada yang dapat menyempurnakannya.
Perlulah di
ingat, kehidupan seseorang itu meliputi tiga hubungan yang perlu ada. Pertama
hubunga manusia dengan penciptanya iaitu Allah Rabbul Jalalah, seterusnya
hubungan yang kedua menghubungkan manusia sesama manusia itu sendiri. Lantas
yang ketiga adalah hubungan manusia dengan persekitarannya - hidupan, haiwan
dan segala yang ada di sekelilingnya.
Apabila hubungan
ini dihidupkan dengan caranya, maka impaknya akan kembali kepada iman seseorang
itu. Hubungan Allah dijaga dengan ibadah. Sesuai dengan tujuan manusia itu
diciptakan. Allah berfirman yang bermaksud:-
"Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadat kepadaKu."
(Surah Ad-Dzariat, ayat 56)
Demikianlah di
dalam membina hubungan manusia dengan manusia, perlunya ada jalinan ukhwah dan
persaudaraan. Maka hanya persaudaraan yang disandarkan pada Allah SWT sahajalah
yang dapat memberikan kemanisan dalam bersaudara. Umpama tautan ukhwah antara
Rasulullah SAW dan para sahabat baginda di mana terbinanya ikatan ukhwah itu
hanya semata-mata kerana Allah SWT sepertimana jalinan ukhwah di antara
Rasulullah SAW adalah Syaidina Abu Bakr.
Syaidina Abu
Bakr bukan sahaja sahabat yang paling setia di sisi baginda SAW, bahkan beliau
juga adalah seorang sahabat yang paling mempercayai Rasulullah SAW ketika
hampir keseluruhan penduduk kota Mekah tidak mempercayai cerita yang
disampaikan oleh Rasulullah SAW ketika itu. Dari mula kerasulan sehingga lah
saat kewafatan baginda SAW, Syaidina Abu Bakr sentias di sisi baginda.
Kukuhnya ukhwah
itu jika tapaknya adalah iman kepada Allah. Akan kekal sepertimana asas
sandarannya yang Maha Kekal. Jelaskan lah niat kita berukhwah hanya semata-mata
kerana Allah SWT. Bersahabat bukan
kerana kepentingan yang lain. Semoga sempurna sebahagian iman ini dengan
berukhwah keranaNya.
Mudah-mudahan ukhwah yang terbina itu persis rantaian
tasbih yang tiada hujungnya, membawa hati-hati yang bertaut itu untuk sentiasa
memuji Allah SWT. InsyaAllah.
Assalamualaikum..ukhwah itu indah..harap ukhwah kita terjalin dalam dunia belog ni..btw, sy dah follow ur belog..kalo tak keberatan leh lah singgah belog sy..
ReplyDeletewaalaikumussalam . betul tu . pelbagai cara ada utk menyambung silaturrahim
ReplyDelete