Hari yang indah
terasa mendung dan kelam. Angin sepoi bertiup lembut namun ia tidak mampu
menenangkan hati duka si gadis bernama Sakinah. Langkah yang diatur terasa
berat, namun, berat lagi bebanan rasa yang terbuku di hati. Terlalu payah untuk
diterjemahkan.
Sesekali hati
merintih, mengapakah aku diuji sebegini rupa? Air mata mengiringi setiap
langkah kaki Sakinah. Sampai hati kau Rafiq. Sampai hati! Terlalu murah air
mata Sakinah kali ini. Menangisi lelaki bernama Rafiq. Ah, kenapa mesti lemah
begini? Soalan mengasak-asak fikiran Sakinah namun dia tidak mampu berhenti
menangis.
Sakinah terus
menangis. Sayu benar hatinya. Lara hati siapa yang tahu. Sesekali ada yang
menoleh ke arahnya. Ah, hati aku yang merana! Kau apa tahu? bentak hati Sakinah
seolah-olah masalah yang ditanggungnya sangat sulit dan berat.
Sakinah
merupakan seorang remaja yang sentiasa bahagia sebelumnya. Dia mengenali Rafiq,
seorang mualaf dari luar negara yang lebih berusia daripadanya, melalui
mukabuku (Facebook). Siapa sangka rasa suka bertukar kepada cinta. Cinta mereka
disulam suka dan bahagia. Namun, adat bercinta, adakalanya ia goyah jua.
Pada Sakinah,
Rafiq sangat sempurna akhlaknya dan sangat teguh pendirian agamanya. Ternyata
hidayah Allah yang meresap ke dalam diri Rafiq tiada tolok bandingnya jika
dibandingkan dengan dirinya.
Kadangkala,
Sakinah merasa malu kepada diri sendiri. Patuhnya Rafiq kepada ajaran Islam
melebihi dirinya sendiri yang dari lahirnya seorang Muslimah. Kepada Allah
Sakinah memanjatkan doa semoga Rafiq adalah jodohnya yang tertulis di Lauh
Mahfuz. Dia lelaki soleh dambaan wanita.
Sakinah hadir
dalam hidup Rafiq pada saat Rafiq mendoakan seorang jodoh untuk dirinya. Pada
saat dirinya terlalu menginginkan seorang isteri dambaan hati. Pada Rafiq,
Sakinah seorang gadis yang solehah, yang bijak menjaga diri dan teguh
pendiriannya terhadap Islam.
Mereka banyak
berkongsi ilmu agama bersama-sama. Dia akui, ilmu agama yang dimilikinya sangat
cetek jika dibandingkan dengan Sakinah. Rafiq amat bersyukur kepada Allah SWT
atas hadirnya Sakinah. Setiap kali usai solat, Rafiq tidak pernah lupa untuk
mendoakan agar Sakinah ditakdirkan untuknya.
"Semoga
Sakinah diciptakan sebagai tulang rusuk kiriku."
Masa berlalu.
Sakinah semakin yakin bahawa Rafiq adalah jodohnya. Walaupun mereka berjauhan
namun tiada satu hari pun berlalu tanpa Rafiq. Rafiq adalah segalanya bagi
Sakinah. Namun, benarlah, suratan qadar tiada siapa yang dapat menolak.
Suatu hari,
Sakinah menerima perkhabaran daripada Rafiq bahawa dia akan menikahi seorang
wanita pilihan komuniti masjid untuknya. Sakinah terpempan. Masakan begitu?
Bukankah sepatutnya Rafiq menikahi aku? fikir Sakinah berulang kali. Berderaian
air mata Sakinah sebaik sahaja menerima perkhabaran itu daripada Rafiq.
Rafiq hanya
mampu berserah. "Wahai Sakinah, bukan ini yang aku mahukan. Tidak pernah
sesekali aku meminta kepada mereka untuk mencarikan jodoh untukku. Aku sendiri
terkesima mendengarkan berita ini. Hati aku masih terlalu cinta kepadamu
Sakinah namun ketahuilah, jarak antara kita sangat besar.
"Mana
mungkin ku tinggalkan ibu bapaku yang sudah lanjut usianya di sini. Sakinah, ku
doakan kau bertemu seseorang yang lebih mulia dariku. Inilah suratan kita. Kau
bukan untukku Sakinah. Percayalah, bukan ini yang ku mahukan untuk kita."
Rafiq mengeluh
kesal. Sungguh, ini bukan rencanaku, Sakinah. Maafkan aku.
Betapa tegarnya
hatimu Rafiq. Apakah nilai aku kepadamu sebenarnya? Ya Rabb, bergetar jiwaku,
betapa sakitnya hatiku. Sakinah menangis tiada henti. Masa bagaikan terhenti
berdetik. Meskipun pukulan cemeti singgah di tubuhku, tidak akan aku merasa
sakit.
Maha hebatnya
derita hatiku. Aku dipaksa untuk menerima musibah ini. Ya Allah, mengapakah
begini? Sakinah rebah. Tapi, itulah qadar Allah yang Maha Mengetahui. Hampir
habis kekuatanku direnggut pergi. Perginya ia bersama-sama Rafiq.
Musim bunga yang
indah kelihatan layu. Senyuman tulip telah pergi bersama perginya senyuman
Rafiq. Sakinah tahu, tiada guna menyesali takdir Ilahi kerana sememangnya
inilah aturan untuknya dan Rafiq. Lantas, Sakinah mengutip sisa kekuatan yang
tinggal. Kenangan bersama Rafiq seharusnya ditinggalkan sejauh-jauhnya.
Sakinah harungi
jua hari-hari yang kelam tanpa Rafiq. Acap kali terngiang-ngiang senda tawa dan
usikan Rafiq. Setiap kali itu juga air mata Sakinah mengalir. Terus mengalir
sehinggakan Sakinah sudah tidak berdaya lagi.
Wahai hati,
jangan gundah lagi. Akuilah takdir Ilahi. Ya Allah, tidak pernah ku sesali
takdir ini. Tetapi Ya Latif, bantulah aku untuk bangun daripada kesedihan dan
kekosongan ini. Isikan hatiku dengan cintaMu semata-mata. Ya Rabb, tolonglah
aku...
Sakinah mesti
bangun semula. Kepada sahabatnya rasa hati dicurahkan. Pesan sahabatnya,
"Bertahanlah wahai Sakinah. Percayalah, yang lebih baik menantimu pada
masa hadapan. Kita di semester akhir wahai sahabat. Bertahanlah. Sakit itu
telah ku rasakan. Mintalah bantuan apa sahaja pasti akan ku lakukan untukmu. Ku
punya bahu untuk kau bersandar dan menangis. Menangislah. Hari esok kau
bangkitlah semula dengan semangat baru."
Kepada emak,
Sakinah menangis semahu-mahunya. Kata emak, "Itu bukan jodohmu, nak. Aku
tidak mahu kau meninggalkanku. Jika engkau bersamanya, kamu akan dibawa jauh
dariku. Meskipun negara tulip itu impianmu, sesekali jangan tinggalkan aku
anakku. Berhati walang diriku wahai anak jika engkau pergi. Jangan biarkan
kecewa mengisi hatimu. Percayalah, jika seluruh alam meninggalkanmu, Allah
sesekali tidak pernah meninggalkanmu."
Kakak Sakinah
pula berkata, "Sis, be strong. We are here for you whenever you need it.
Don't forget you have us. We love you very much."
Abangnya juga
menambah, "You have to consider his situation. He is a newly converted
brother. The mosque people want to help him to safeguard his iman. Marrying is
the best way to ensure that. Don't be sad, my sis. You deserve someone better.
Someone will come for you one day, insya-Allah. Believe that, sis."
Sakinah terduduk
dan menangis lagi. Kali ini tangis kerana bahagia. Inilah hikmahnya. Aku tidak
kehilangan apa-apa. Ya, aku kehilangan cinta Rafiq namun ALLAH menggantikan
yang lebih baik. Alhamdulillah, syukur kepadamu, ya Rabb. Aku menemui kasih
sayang yang lebih asli. Akan ku tempuhi hidup ini tanpamu, Rafiq. Aku tidak
berdendam padamu. Doaku untukmu Rafiq, semoga kau menjadi seorang suami dan
bapa yang soleh.
Ah. Hati masih
sahaja berduka. Bagaimana harus ku lakukan? Lantas, aku mencarimu, ya Rabb. Aku
menemui kedamaian melalui solatku, zikirku dan juga selawatku kepada kekasih
yang dicintai iaitu Rasulullah SAW.
Aku pelihara
auratku dan menjadikan La Tahzan sebagai wadah bacaanku. Aku menyibukkan
hari-hariku dengan Kalamullah. Aku teliti maksudnya. Aku jadikan diriku sebagai
seorang yang mencintai solat jemaah dan masjid sebagai rumahku yang utama.
Ya Rabb, aku
menemui damai di sini. Namun hatiku masih merindui seorang lelaki soleh sebagai
suami. Insya-Allah, masanya pasti tiba. Seluruh jiwa ragaku untukmu, ya Rabb. Semoga
bahagia ini kekal bersamaku hingga akhir nafasku.
Alhamdulillah,
Sakinah kini adalah wanita yang bahagia walaupun Sakinah belum menemui Adamnya.
Sakinah bahagia dalam limpah kasih sayang Rabbnya. Inilah cinta abadi Sakinah
selamanya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih . Syukran Jazilan