Diri yang
dibelenggu dosa pasti tiada padanya perasaan tenang, bahagia dan gembira.
Sebaliknya, diri dikongkong dengan perasaan keluh kesah. Dosa itu umpama serbuk
kopi tanpa gula yang dimasukkan ke dalam air panas, terlarut bersama air yang
akhirnya diminum.
Analogi ini
umpama bintik-bintik hitam yang tumbuh di dalam hati sehingga lama-kelamaan
larut di dalam jiwa dan akhirnya terasa pahitnya berada dalam dosa. Bertuah
pada mereka yang merasai dirinya berada dalam keadaan begini. Namun, bagi yang
tidak merasainya, teruskan usaha untuk mencarinya.
Detikan yang
muncul dalam hati dengan merasai dan menginsafi dosa-dosa ini adalah jentikan
daripadaNya yang menyayangi hambaNya. Tuhan itu Maha Pemurah, Pengasih,
Penyayang dan Pengampun kepada hambaNya. Selangkah kita menghampiri Allah,
seribu langkah Dia mendekati kita.
Bagi yang
menerima suntikan ini, bersyukurlah, kerana kamu adalah antara insan yang
terpilih. Jangan pernah abaikan dan mensia-siakan hidayah ini kerana kita takut
inilah hidayah terakhir kurniaanNya. Seandainya kita melepaskannya, apakah
mungkin kita memperolehnya pada masa akan datang? Bagi yang belum
mendapatkannya, ayuh, kita koreksi diri dan berusaha untuk mendapatkan hidayah
semoga kita tersedar daripada igauan dosa.
Antara cara yang
dapat kita usahakan untuk menimbulkan perasaan berdosa ini adalah dengan
memperbanyakkan muhasabah. Setiap orang boleh bermuhasabah, namun, tidak semua
yang dapat merasa nikmat muhasabah yang sebenar. Oleh sebab itulah kita
dialu-alukan untuk menghadiri kuliah agama, usrah, program bagi membina sahsiah
dan rohani dan seumpamanya.
Program-program
sebegitu sedikit sebanyak akan menimbulkan bibit penyesalan dan melembutkan
hati. Pengisian usrah yang berkualiti, sebagai contoh, meninggalkan bekas di
hati masing-masing.
Bersahabatlah
dengan sahabat yang baik kerana mereka boleh mengingatkan kita pada saat kita
lalai dan lupa. Seterusnya, biasakanlah diri dengan solat, zikrullah, selawat
dan membaca al-Quran sebaik mungkin, kerana inilah makanan utama rohani kita.
Apabila hilang ia, maka hilanglah diri dan sifat kehambaan itu.
Selain daripada
itu, jangan lupa untuk berjinak-jinak dengan Allah tatkala semua orang sedang
tidur. Korbankan kesedapan tidur itu dengan merayu, meminta dan meluahkan
segala-galanya, serta mengaku kelalaian dan kemungkaran kepadanya. Air mata
inilah yang akan menjadi penyelamat pada hari akhirat kelak, insya-Allah.
Berdoa,
merayulah padaNya agar Dia memimpin kita kembali ke jalan yang lurus dan
meluruskan hati untuk kembali padaNya, di samping memohon kekuatan untuk terus
bermujahadah dalam mencari hakikat hidup yang sebenar dengan mencintaiNya.
Akhir kalam,
sebagai peringatan buat diri yang hina ini serta semua, ayuh kita kembali
memperbaiki diri. Berusahalah untuk kembali kepada Allah kerana kita berada di
bumi yang fana' ini tidak lama. Kehidupan di akhirat nanti yang kekal. Ayuh
kita manfaatkan masa taubat yang diberi Allah kepada kita.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih . Syukran Jazilan