01 July 2012

Ukhwah itu indah

Assalamualaikum (",)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
"Tidaklah sempurna iman seseorang di antara kalian hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ukhwah itu indah jika penyatuan itu disandarkan kepada Allah SWT semata. Tiada seorang pun manusia dapat hidup bersendirian walaupun dunia itu dia yang punya. Walau segalanya cukup sempurna, manusia inginkan sebuah ukhwah. Kerana di situlah fitrahnya manusia dijadikan. Bukan berseorangan tetapi berdua. Bukan bersendirian tetapi berpasangan. Asas inilah yang harus kita percaya bahawa manusia tidak akan sempurna tanpa sebuah ukhwah, kerana tanpa ukhwah  iman itu tidak akan sempurna.

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW  yang menganjurkan persaudaraan. Sepertimana dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Zar RA katanya, yang bermaksud:-

"Nabi SAW telah bersabda kepadaku, "Janganlah kamu memperkecilkan kebaikan sedikitpun, sekalipun engkau menemui saudara  engkau dengan wajah yang berseri-seri."

Terang lagi bersuluh, betapa Islam sangat menganjurkan persaudaraan walaupun hanya dengan bermanis wajah di hadapan saudaranya. Nilai kebaikan di dalam Islam sentiasa dijaga walaupun di dalam perkara yang sekecil-kecilnya. Menghubungkan silaturrahim bermula dengan salam dan  senyuman  itu  dapat membahagiakan orang yang melihatnya. Dengan senyuman sahaja dapat mengeratkan lagi tautan ukhwah yang ada. Maka senyumlah kerana Allah untuk saudara kita.

Bagaimana ukhwah itu dapat menyempurnakan iman seseorang?

Islam adalah cara hidup yang sangat sempurna. Agama Rabbaniyyah yang datangnya daripada Allah SWT yang Maha Pencipta. Justeru, sudah pastilah yang menciptakan itu lebih tahu apa yang terbaik ke atas apa yang diciptakannya. Maka  setiap sistem yang ada dalam aturan Islam itu pastinya amat sesuai dengan fitrah manusia.

Islam menggalakkan umatnya menghubungkan silaturrahim kerana dengan hubungan itu manusia akan dapat saling mengenali dan seterusnya dapat meraih kasih sayang sesama mereka. Ini terbukti sepertimana yang telah dijelaskan di dalam Al-quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

"Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."
 (Surah Al-Hujrat, ayat 13)

Dengan menghubungkan silaturrahim sudah tentulah adanya hubungan muamalat yang terjalin. Dengan jalinan ini, pastilah akan ada berlaku pelbagai urusan yang melibatkan kehidupan seharian samada ianya berhubung dengan fardhu ain atau kifayah. Dan segala urusan yang wujud itulah menyentuh konsep hubungan manusia sesama manusia.

Sebagai contoh, apabila berlakunya sesuatu maksiat di hadapan mata maka menjadi fardhu ke atasnya untuk menegur dan memperbetulkan apa yang salah dan mungkar. Di sinilah antara asas nilaian ukhkwah itu dapat menyempurnakan sebahagian dari iman seseorang. Dengan menunaikan hak-hak yang telah ditetapkan di dalam persaudaraan itu, maka dalam masa yang sama sebenarnya dia telah pun melaksanakan apa yang telah dianjurkan oleh Islam.

Terdapat banyak nas-nas yang sohih di mana menerangkan kepada kita tentang kewajipan seseorang muslim kepada muslim yang lain di dalam menjaga persaudaraan. Antara kewajipan itu sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW ialah :-

"Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah  (jenazahnya)."
(Hadis Riwayat Muslim)

Tetapi cuba bayangkan seandainya kehidupan seorang manusia itu tanpa ada ukhwah yang terjalin. Hidup di pinggir hutan, di dalam gua berseorang. Langsung tiada urusan muamalat yang dijalankan. Hidupnya hanya beribadah kepada Allah. Bukankah baginya hanya sempurna sebahagian iman tetapi sebahagiannya pula tidak ada yang dapat menyempurnakannya.

Perlulah di ingat, kehidupan seseorang itu meliputi tiga hubungan yang perlu ada. Pertama hubunga manusia dengan penciptanya iaitu Allah Rabbul Jalalah, seterusnya hubungan yang kedua menghubungkan manusia sesama manusia itu sendiri. Lantas yang ketiga adalah hubungan manusia dengan persekitarannya - hidupan, haiwan dan segala yang ada di sekelilingnya.



Apabila hubungan ini dihidupkan dengan caranya, maka impaknya akan kembali kepada iman seseorang itu. Hubungan Allah dijaga dengan ibadah. Sesuai dengan tujuan manusia itu diciptakan. Allah berfirman yang bermaksud:-

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
 (Surah Ad-Dzariat, ayat 56)

Demikianlah di dalam membina hubungan manusia dengan manusia, perlunya ada jalinan ukhwah dan persaudaraan. Maka hanya persaudaraan yang disandarkan pada Allah SWT sahajalah yang dapat memberikan kemanisan dalam bersaudara. Umpama tautan ukhwah antara Rasulullah SAW dan para sahabat baginda di mana terbinanya ikatan ukhwah itu hanya semata-mata kerana Allah SWT sepertimana jalinan ukhwah di antara Rasulullah SAW adalah Syaidina Abu Bakr.

Syaidina Abu Bakr bukan sahaja sahabat yang paling setia di sisi baginda SAW, bahkan beliau juga adalah seorang sahabat yang paling mempercayai Rasulullah SAW ketika hampir keseluruhan penduduk kota Mekah tidak mempercayai cerita yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ketika itu. Dari mula kerasulan sehingga lah saat kewafatan baginda SAW, Syaidina Abu Bakr sentias di sisi baginda.

Kukuhnya ukhwah itu jika tapaknya adalah iman kepada Allah. Akan kekal sepertimana asas sandarannya yang Maha Kekal. Jelaskan lah niat kita berukhwah hanya semata-mata kerana Allah SWT. Bersahabat  bukan kerana kepentingan yang lain. Semoga sempurna sebahagian iman ini dengan berukhwah keranaNya. 

Mudah-mudahan ukhwah yang terbina itu persis rantaian tasbih yang tiada hujungnya, membawa hati-hati yang bertaut itu untuk sentiasa memuji Allah SWT. InsyaAllah.

2 comments:

  1. Assalamualaikum..ukhwah itu indah..harap ukhwah kita terjalin dalam dunia belog ni..btw, sy dah follow ur belog..kalo tak keberatan leh lah singgah belog sy..

    ReplyDelete
  2. waalaikumussalam . betul tu . pelbagai cara ada utk menyambung silaturrahim

    ReplyDelete

Terima Kasih . Syukran Jazilan