01 April 2015

Ujian, Ibrah Buat Diri

Assalamualaikum (",)

UJIAN, IBRAH BUAT DIRI.

“Bila masa menjelma
Kebahagiaan akan tiba”

Indahnya pada mata kita
Sabarnya pada jiwa kita
Bahagianya pada hidup kita
Senyumnya di wajah kita
Ketenangannya pada jiwa kita
Nikmat mana lagi yang kau dustakan?

Saban hari dugaan itu datang bertimpa-timpa tanpa diminta. Tetapi, hati yang penuh kesabaran dan kesyukuran seringkali mengingatkan bahawa Allah sayang akan hambanya. Cuitan ingatan daripada Nya itu lebih berharga. Apakah gunanya hidup bahagia tanpa dugaan? Dan pada masa itu, hati terdetik pula, Allah lupakan aku?  Teringat pula satu kisah yang berlaku lebih kurang 7 tahun yang lalu. Zaman remaja yang penuh dengan teka-teki. Seorang rakan kelas yang berjaya dan sering memperoleh markah yang tinggi sedangkan dia tidak menutup aurat, apatah lagi solat. Lalu persoalan itu saya ajukan kepada seorang guru. Dengan lembut tutur katanya, dia menjawab, “itu ujian buat dirinya, jika dia terus alpa, leka dan lalai, maka itulah istidraj. Nikmat yang Allah beri itu, membuatkan dia lebih jauh dari Allah. Kita ini sebagai rakannya, ringankan mulut mengajak ke arah kebaikan. Tunjukkan peribadi mulia, dan teruskan berdoa semoga dia kembali kepada Allah”. Allahuakbar. Sebenarnya ini juga ujian buat kita. 

Saya juga insan yang masih banyak kekurangannya. Ilmu yang ada belum mampu untuk letakkan saya di tempat yang tinggi. Tidak layak rasanya untuk dijadikan contoh. Ujian yang datang itulah menjadikan siapa saya pada hari ini. Jika kita terus lupa, apalah ibrah yang kita pedulikan? Rugi. Sangat rugi. Saat dalam hati itu terdetik rasa ingin berubah menjadi lebih baik, itulah hidayah-nya, datang menyapa kita. Jika kita tidak  menyambutnya, mungkin selepas ini, tiada lagi hidayah datang menyapa. Jadilah yang terbaik saat mata ini mampu melihat keindahan ciptaan Dia. Berubahlah kea rah yang lebih baik, saat nafas ini masih berhembus. Jangan pernah takut kerana tidak mampu istiqamah. Lakukan lah dengan perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit. Kerana yang sedikit tetapi konsisten itu lebih baik daripada banyak tetapi tidak istiqamah. Saya doakan yang terbaik untuk semua. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih . Syukran Jazilan